Langkau ke kandungan
Dokumen dasar

Perjanjian Pelantikan & Terma Penjual

Versi 1.3 · Dikemas kini 24 Oktober 2026

Perjanjian ini dimeterai antara J&M TECH RESOURCES (No. Pendaftaran SSM 202603230338 (CA0426874-K)) ("J&M") dengan entiti yang mendaftar melalui onetwoclick, iaitu:

  • Sekolah KPM ("Sekolah"), yang diwakili oleh Guru Besar/Pengetua atau pegawai yang diberi kuasa (Bahagian A & Bahagian C terpakai); atau
  • Peniaga Individu / Kelab & Organisasi ("Penjual"), yang diwakili oleh pemilik berdaftar atau pegawai yang diberi kuasa (Bahagian B & Bahagian C terpakai).

Bahagian A: Perjanjian Pelantikan Sekolah KPM

1. Pelantikan dan skop (Sekolah)

  1. Sekolah melantik J&M untuk: (a) menyediakan sistem tempahan dalam talian; (b) mengutip bayaran ibu bapa bagi pihak Sekolah; (c) menguruskan penghasilan dan penghantaran produk ke Sekolah; dan (d) menyerahkan baki jualan kepada Sekolah.
  2. Produk merangkumi baju KRMJ (pilihan bagi sekolah negeri Johor), baju sekolah/sukan, cetakan gambar kelas, fail digital dan produk sekolah lain yang dipersetujui. Sekolah bebas memilih produk yang ditawarkan.
  3. J&M bertanggungjawab ke atas penghasilan dan penghantaran produk katalog J&M ke Sekolah, sama ada dilaksanakan sendiri atau melalui pembekal luar.

2. Harga (Sekolah)

  1. Bagi produk katalog J&M (baju dan cetakan gambar), J&M menetapkan harga lantai bagi setiap produk. Sekolah boleh menetapkan harga jual yang sama atau lebih tinggi, tetapi tidak lebih rendah. Harga lantai merangkumi yuran pemprosesan bayaran dan kos operasi J&M.
  2. Bagi produk yang dimuat naik sendiri oleh Sekolah (jika ada), tiada harga lantai J&M; cas platform sebanyak 6% + RM1.00 dikenakan bagi setiap pesanan yang berjaya dibayar.
  3. J&M boleh melaraskan harga lantai dengan notis bertulis 30 hari. Pesanan yang telah dibayar tidak terjejas.
  4. Tiada yuran langganan bulanan atau tahunan.

3. Kutipan, lejar dan penyelesaian (Sekolah)

  1. Ibu bapa membayar melalui akaun pemproses bayaran J&M yang dikhususkan untuk onetwoclick. Setiap transaksi ditanda dengan kod Sekolah.
  2. Bahagian Sekolah direkodkan dalam lejar berasingan bagi setiap Sekolah dan tidak digunakan untuk perbelanjaan J&M.
  3. Penyelesaian dibuat bagi setiap musim tempahan selepas Sekolah menerima produk. Sekolah mengesahkan penerimaan dalam sistem. Jika tiada pengesahan dalam 14 hari selepas produk dihantar, penerimaan dianggap disahkan. J&M akan berhubung secara aktif dengan Sekolah mengenai status penerimaan.
  4. J&M menyerahkan baki dalam tempoh 14 hari selepas penerimaan disahkan, ke akaun rasmi Sekolah yang didaftarkan (akaun PIBG, atau akaun rasmi persatuan guru yang diperakui ketua jabatan), bersama Penyata Penyelesaian yang menyenaraikan pesanan, jumlah kutipan, bahagian J&M, bahagian Sekolah, serta tarikh dan rujukan pindahan.
  5. Perubahan akaun bank Sekolah hanya diterima melalui surat rasmi daripada pihak berkuasa Sekolah, dan disahkan oleh J&M.

Bahagian B: Terma Penggunaan Platform Peniaga Individu & Organisasi

4. Skop perkhidmatan platform (Peniaga & Organisasi)

  1. Penjual menggunakan platform onetwoclick yang dikendalikan oleh J&M untuk memaparkan katalog kedai, menerima tempahan dan mengutip bayaran dalam talian daripada pembeli.Bagi organisasi/kelab yang melantik J&M untuk menguruskan kutipan, J&M bertindak sebagai pihak yang dilantik bagi mengutip bayaran dan menyerahkan baki bersih kepada akaun rasmi organisasi.
  2. Penjual boleh menawarkan sehingga 30 produk sendiri (sama ada jualan harian yang sentiasa dibuka atau tempahan bermusim) serta produk katalog J&M (baju dan cetakan gambar) jika dipilih.
  3. Bagi produk sendiri yang dipegang oleh Penjual, Penjual bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kualiti, kesahan produk, pembungkusan serta serahan kepada pembeli (secara pos atau serahan tangan). Bagi produk yang dipos, Penjual wajib merekodkan nama syarikat penghantaran dan nombor tracking dalam Portal Admin.

5. Struktur harga dan cas platform (Peniaga & Organisasi)

  1. Tiada yuran langganan: tiada caj pendaftaran atau yuran bulanan dikenakan.
  2. Produk sendiri Penjual: Penjual bebas menetapkan harga jualan (minimum RM5.00 setiap produk) dan caj pos rata (Semenanjung serta Sabah/Sarawak/Labuan). Cas platform sebanyak 6% daripada nilai jualan produk sendiri dalam sesuatu pesanan + RM1.00 bagi setiap pesanan yang berjaya dibayar (sekali bagi satu pesanan, tanpa mengira bilangan unit) ditolak secara automatik daripada hasil jualan, merangkumi kos gerbang bayaran dan penyelenggaraan sistem. Cas ini tidak ditambah kepada harga yang dibayar oleh pembeli. Jika bayaran sesuatu pesanan dipulangkan sepenuhnya, cas platform bagi pesanan itu dipulangkan sepenuhnya kepada Penjual. Contoh: 3 unit × RM20.00 dalam satu pesanan = RM60.00; cas platform = RM3.60 + RM1.00 = RM4.60; Penjual menerima RM55.40.
  3. Produk katalog J&M (Baju & Gambar): jika Penjual menawarkan produk cetakan siap J&M, kiraan menggunakan harga lantai yang ditetapkan oleh J&M (tanpa cas tambahan 6% + RM1.00). Lebihan harga jual di atas harga lantai menjadi bahagian Penjual.

6. Lejar dan penyelesaian bayaran (Peniaga & Organisasi)

  1. Setiap transaksi pembeli ditanda dengan kod kedai Penjual dan direkodkan dalam lejar berasingan.
  2. Kedai yang sentiasa dibuka (jualan harian): pesanan produk sendiri layak dimasukkan ke dalam penyelesaian bulanan 7 hari selepas Penjual menandakan pesanan sebagai "Telah diserahkan", dengan syarat tiada aduan pembeli yang sedang disiasat. Baki bersih bagi bulan berkenaan dipindahkan ke akaun bank rasmi Penjual yang disahkan dalam tempoh 14 hari selepas hujung bulan, bersama Penyata Penyelesaian bulanan.
  3. Tempahan bermusim: penyelesaian dibuat mengikut musim selepas penerimaan produk disahkan (dalam tempoh 14 hari selepas pengesahan), sama seperti aliran penyelesaian musim di Klausa 3.

Bahagian C: Terma Umum Semua Kategori

7. Pembatalan, pemulangan bayaran dan pertikaian kad

Pembatalan dan pemulangan bayaran dibuat mengikut Dasar Pembatalan & Pemulangan Bayaran. Bagi produk katalog J&M yang rosak atau salah cetak, kos penggantian atau pemulangan ditanggung oleh J&M. Bagi produk sendiri Penjual yang gagal diserahkan atau tidak menepati pesanan, bayaran dipulangkan kepada pembeli daripada kutipan pesanan tersebut.

Jika pembeli membuat pertikaian bayaran kad dengan bank pengeluar kad (chargeback) bagi sesuatu pesanan, yuran pertikaian yang dikenakan oleh pemproses bayaran (pada masa ini RM90.00 bagi setiap pertikaian, dan RM90.00 lagi jika bantahan J&M tidak berjaya) ditanggung oleh Sekolah atau Penjual bagi pesanan tersebut dan ditolak daripada baki penyelesaian. Bahagian Sekolah atau Penjual bagi pesanan dalam pertikaian ditahan sehingga pertikaian selesai. Sekolah atau Penjual hendaklah menyimpan bukti serahan (contohnya nombor tracking atau senarai agihan bertandatangan) dan mengemukakannya kepada J&M apabila diminta.

8. Data peribadi

  1. Sekolah atau Penjual ialah pengawal data bagi data pelanggan/murid masing-masing. J&M memproses data hanya untuk tujuan perjanjian ini selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) dan Dasar Privasi.
  2. Data setiap Sekolah dan Penjual diasingkan mengikut kod entiti dan tidak boleh dicapai oleh entiti lain.
  3. Pihak ketiga yang digunakan: penyedia awan (Google Cloud, Singapura), perkhidmatan e-mel (Google Workspace), perlindungan penyalahgunaan (Google reCAPTCHA), pemproses bayaran (Stripe), serta pembekal cetakan dan penghantaran. Senarai penuh dan lokasi pemprosesan dinyatakan dalam Dasar Privasi bahagian 5.
  4. J&M mengambil langkah keselamatan teknikal yang sewajarnya, dan memaklumkan pihak berkenaan dengan segera jika berlaku pelanggaran data.
  5. Fail disimpan sepanjang tempoh perjanjian. J&M memadam fail dalam tempoh 90 hari selepas perjanjian tamat, setelah eksport penuh diserahkan kepada Sekolah atau Penjual jika diminta.

9. Logo dan harta intelek

Logo Sekolah, logo KRMJ dan jenama Penjual digunakan hanya untuk produk yang dipersetujui, dan kekal milik pemiliknya. Reka bentuk dan acuan yang dibangunkan oleh J&M kekal milik J&M, melainkan dipersetujui sebaliknya. Perisian onetwoclick digunakan oleh J&M di bawah lesen daripada pemilik hak ciptanya; perjanjian ini tidak memindahkan apa-apa hak dalam perisian tersebut kepada Sekolah atau Penjual.

10. Tempoh dan penamatan

  1. Perjanjian ini berkuat kuasa apabila Sekolah atau Penjual bersetuju semasa pendaftaran dan J&M meluluskan pendaftaran.
  2. Mana-mana pihak boleh menamatkan perjanjian ini dengan notis bertulis 30 hari.
  3. Selepas penamatan, pesanan yang telah dibayar hendaklah dipenuhi dan baki tertunggak akan diselesaikan mengikut jadual penyelesaian.

11. Tanggungan dan pertikaian

Perjanjian ini tertakluk kepada undang-undang Malaysia. Pertikaian diselesaikan melalui rundingan secara muhibah terlebih dahulu.

12. Persetujuan

Sekolah, Peniaga atau Organisasi bersetuju secara elektronik semasa pendaftaran (nama, jawatan, email dan masa direkodkan dalam jejak audit), bersama muat naik surat lantikan rasmi bagi kategori Sekolah. J&M mengaktifkan kedai selepas mengesahkan maklumat pendaftaran, dan memindahkan baki jualan selepas mengesahkan akaun bank rasmi penerima.